Monday 29 August 2011

Malam Raya takbir keliling kampong


Cucu pertamaku Nik Badrul Munir sudah keletihan ketika masuk rumah ketiga semasa mengikuti rombongan takbir keliling kampong menyambut Raya Puasa 1432H di Kampong Teras Jernang. Munir minta izin kepadaku untuk tidak ikutserta ke rumah yang keempat. Menjadi kelaziman penduduk di sini untuk melakukan kegiatan takbir keliling kampong pada malam raya.

Sewaktu aku mula pertama hadir di kampong tahun 1979, penduduknya masih sedikit dan kami hanya mengadakan satu kumpulan untuk takbir keliling kampong. Namun tahun 2011 iaitu 31 tahun kemudian sudah ramai yang membina rumah dan juga menyewa rumah di sini. Kumpulan terpaksa dipecah menjadikan 8 kumpulan supaya selesai sekitar jam 12.30 malam. Kami bermula jam 9.30 malam sebaik saja selesai solat berjamaah Isya di Mesjid As-Solihin Teras Jernang. Dalam masa 3 jam, kami hanya boleh hadir di lapan (8) buah rumah saja dengan mengambilkira tiap rumah yang dikunjungi mengambil masa 15 minit.

Kegiatan ini dibuat secara sukarela dan tiada paksaan kepada mana-mana tuan rumah untuk menerima kunjungan rombongan, biasanya tuan rumah akan ikutserta dalam rombongan sambil bersilaturahim ketika berjalan kaki keliling satu kawasan berdekatan yang ditetapkan.
Sebaik saja sampai ke sebuah rumah, seseorang yang telah ditugaskan memulakan takbir dan alunan takbir itu akan diikuti oleh peserta rombongan. Sebanyak tiga kali pusingan takbir dilakukan, kemudian ditutup takbir dengan lafaz takbir yang panjang sebagai penutup. Sebaik saja selesai takbir, tuan rumah akan menjemput peserta rombongan untuk menjamu selera apa yang disediakan. Biasanya hanya minum dan makan sebiji kueh atau apa-apa juadah yang disukai. Apabila selesai makan seseorang akan mengucapkan lafaz “Allahuma solliala sayyidina Muhammad” bagi menandakan acara tamat dan rombongan akan mula bergerak ke rumah berikutnya. Bagitulah dilakukan sehinggalah ke rumah yang terakhir.

Ketika ku tanyakan kepada CikGu Aris, mantan kakitangan kedutaan Malaysia di Australia tentang asal usul kegiatan ini, beliau mengatakan kurang pasti, tetapi mengatakan di kalangan orang-orang Jawa di Kajang pernah melakukan  kegiatan ini ketika menyambut malam raya. Juga, ada yang mengatakan kegiatan ini berasal dari tanah Minang. Diperlukan sedikit kajian lanjut untuk mengetahui asal usul kegiatan takbir di malam raya.

Apa yang aku dapat rasakan ialah terbinanya tali ukuwwah Islamiyah yang kuat antara jiran sekampong dan teman-teman yang tinggal di jalan yang sama. Kami akan saling mengenal antara satu sama lain dan ini dapat membendung sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu tentang jiran. Walau pun kami sering bertemu di mesjid untuk solat berjamaah, namun waktu di mesjid agak terbatas kerana masing-masing sibuk. Jadi pada musim cuti raya inilah satu-satunya kesempatan yang terbaik untuk membina hubungan dengan jiran dan sekaligus mencipta suasana mesra antara sesama manusia yang berjiran.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Ogos 2011.