Monday 29 August 2011

Malam Raya takbir keliling kampong


Cucu pertamaku Nik Badrul Munir sudah keletihan ketika masuk rumah ketiga semasa mengikuti rombongan takbir keliling kampong menyambut Raya Puasa 1432H di Kampong Teras Jernang. Munir minta izin kepadaku untuk tidak ikutserta ke rumah yang keempat. Menjadi kelaziman penduduk di sini untuk melakukan kegiatan takbir keliling kampong pada malam raya.

Sewaktu aku mula pertama hadir di kampong tahun 1979, penduduknya masih sedikit dan kami hanya mengadakan satu kumpulan untuk takbir keliling kampong. Namun tahun 2011 iaitu 31 tahun kemudian sudah ramai yang membina rumah dan juga menyewa rumah di sini. Kumpulan terpaksa dipecah menjadikan 8 kumpulan supaya selesai sekitar jam 12.30 malam. Kami bermula jam 9.30 malam sebaik saja selesai solat berjamaah Isya di Mesjid As-Solihin Teras Jernang. Dalam masa 3 jam, kami hanya boleh hadir di lapan (8) buah rumah saja dengan mengambilkira tiap rumah yang dikunjungi mengambil masa 15 minit.

Kegiatan ini dibuat secara sukarela dan tiada paksaan kepada mana-mana tuan rumah untuk menerima kunjungan rombongan, biasanya tuan rumah akan ikutserta dalam rombongan sambil bersilaturahim ketika berjalan kaki keliling satu kawasan berdekatan yang ditetapkan.
Sebaik saja sampai ke sebuah rumah, seseorang yang telah ditugaskan memulakan takbir dan alunan takbir itu akan diikuti oleh peserta rombongan. Sebanyak tiga kali pusingan takbir dilakukan, kemudian ditutup takbir dengan lafaz takbir yang panjang sebagai penutup. Sebaik saja selesai takbir, tuan rumah akan menjemput peserta rombongan untuk menjamu selera apa yang disediakan. Biasanya hanya minum dan makan sebiji kueh atau apa-apa juadah yang disukai. Apabila selesai makan seseorang akan mengucapkan lafaz “Allahuma solliala sayyidina Muhammad” bagi menandakan acara tamat dan rombongan akan mula bergerak ke rumah berikutnya. Bagitulah dilakukan sehinggalah ke rumah yang terakhir.

Ketika ku tanyakan kepada CikGu Aris, mantan kakitangan kedutaan Malaysia di Australia tentang asal usul kegiatan ini, beliau mengatakan kurang pasti, tetapi mengatakan di kalangan orang-orang Jawa di Kajang pernah melakukan  kegiatan ini ketika menyambut malam raya. Juga, ada yang mengatakan kegiatan ini berasal dari tanah Minang. Diperlukan sedikit kajian lanjut untuk mengetahui asal usul kegiatan takbir di malam raya.

Apa yang aku dapat rasakan ialah terbinanya tali ukuwwah Islamiyah yang kuat antara jiran sekampong dan teman-teman yang tinggal di jalan yang sama. Kami akan saling mengenal antara satu sama lain dan ini dapat membendung sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu tentang jiran. Walau pun kami sering bertemu di mesjid untuk solat berjamaah, namun waktu di mesjid agak terbatas kerana masing-masing sibuk. Jadi pada musim cuti raya inilah satu-satunya kesempatan yang terbaik untuk membina hubungan dengan jiran dan sekaligus mencipta suasana mesra antara sesama manusia yang berjiran.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Ogos 2011.

Thursday 10 July 2008

Wanita Berpergian Mesti Ditemani Muhrim

by isbah88 @ 2008-05-05 - 21:15:42

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan tangkapan wanita Malaysia di luar negara dan dituduh mengedar dadah oleh sindikat antarabangsa atau kumpulan persendirian yang matlamat jangka pendek mereka ialah mencari keuntungan cepat dengan menjual dan mengedar dadah. Manusia jenis ini saya anggap durjana kerana beberapa hal, menipu mangsa dengan berbagai cara termasuk menawarkan pekerjaan yang bergaji lumayan di luar negara, terlibat dalam penjualan barangan terlarang dan memudaratkan manusia. Apakah kita akan duduk diam dan melihat saja?.
Menteri Luar Dato Seri Dr Rais Yatim mencadangkan agar wanita yang akan keluar negara mendapat izin daripada ibubapa atau penjaga. Cadangan ini perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak kejadian yang telah terjadi berulang lagi.
Lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, Rasulallah s.a.w. telah mengingatkan agar wanita yang berpergian mesti ditemani muhrim. Anjuran Rasul ini telah dilanggari ramai kalangan muslim kerana lebih mementingkan kewangan daripada keselamatan diri.
Marilah kita mengamalkan ajaran Nabi yang jitu walaupun telah diutarakan lebih daripada seribu empat ratus tahun yang lalu.

Kg. Teras Jernang
5 Mei 2008

Perjuangan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang

by isbah88 @ 2008-05-04 - 10:57:53

Sejak dilantik sebagai Presiden PAPTI (Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia) pada bulan Mac 2005 hingga kini saya akan terus memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua bidang sesuai dengan perlembagaan PAPTI (Fasal IV(3)). Selain ianya merupakan bahasa ilmu, ianya juga menjadi bahasa pemersatu semua kaum di Malaysia dan juga di Nusantara, bahkan tidak mustahil ianya akan menjadi bahasa utama di Dunia.
Ini bukan suatu misi politik kerana saya tidak ada kecenderungan untuk bergiat aktif dalam mana-mana parti politik, saya hanya berminat untuk memakmurkan bumi ALlah ini bersama-sama dengan manusia yang sedar siapa dirinya di hadapan ALlah yang Maha Besar dab Maha Kaya. Tujuan hidup muslim ialah untuk mengabdikan dirinya kepada ALlah, demi kesejahteraan manusia sejagat.
Saya ingin mengajak semua pihak di Malaysia dan juga di Nusantara untuk sama-sama memertabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua bidang.

Teras Jernang
4 Mei 2008

Persekitaran Baru Dalam Politik Malaysia

by isbah88 @ 2008-05-02 - 15:13:43

Bermula dari 8 Mac 2008, pengundi Malaysia memperlihatkan suatu perubahan yang sangat drastik dengan pihak pembangkang menawan lima (5) negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Kerajaan BN kehilangan dua pertiga majoriti. BN hanya mendapat 140 kerusi parlimen, kurang 8 kursi untuk mendapat dua pertiga majoriti dan pembangkang (DAP, PAS dan PKR) memperolehi 82 kerusi parlimen. Ini suatu fenomena baru yang belum pernah saya sendiri alami, walau pun berharap ianya berlaku kerana lama sangat BN memerintah sehingga hilang kreativiti mereka untuk membantu Negara menjadi maju dan beradab.

Pada dasarnya penubuhan parti politik hanyalah kenderaan untuk mendapat kuasa, setelah kuasa diperolehi maka politik boleh ditinggalkan sehingga datang pilihan raya baru. Siapa yang mendapat pemerintahan hanya mengetahui rakyat semua sebagai "client" baru mereka dan pemerintah tidak lagi melihat rakyat dari segi parti politik. Sehingga ada pemerintah yang dahulu membuat ketidakadilan dengan menidakkan hak rakyat yang mengundi pembangkang, timbullah isu wang ehsan untuk Terengganu pada hal biar siapa pun yang memerintah sesebuah negeri kita mesti ingat bahawa negeri tersebut ialah sebuah negeri di Malaysia dan ianya berhak mendapat apa yang dia patut dapat, tanpa mengurangkan sedikit pun hak mereka.

Sekarang timbul dua pemerintahan dalam negeri yang dikuasai pembangkang satu mewakili pemerintah negeri berkenaan (pembangkang) dan satu lagi mewakili pemerintah pusat yang dikuasai BN. Mana boleh ada dua nakhoda dalam satu kapal. Lama kelamaan kapal yang ada dua nakhoda akan tenggelam dan akhirnya rakyat juga yang akan menderita.

Sama-samalah kita memperbetulkan kepincangan ini.

Bandar Baru Bangi
2 Mei 2008

Teknik Menghubungkan Fikiran Sedar dengan Fikiran bawah sedar bagi mencapai apa yang kita cita-citakan


by isbah88 @ 2007-08-08 - 19:58:56

Pada setengah orang tidur adalah perkara yang sangat mudah, letak saja kepala di bantal boleh terus tertidur dan ada orang mengambil masa yang lama untuk tidur. Kadang kala orang yang boleh tidur segera pun tidak dapat tidur segera atas beberapa masalah yang mungkin di hadapi.

Melvin Powers, dalam bukunya, ”Dynamic Thinking” mukasurat 67 dan 68, mencadangkan agar apabila kita masuk tidur dan tidak berupaya untuk tidur segera, mengamalkan satu teknik yang beliau sebutkan sebagai teknik menghubungkan antara fikiran sedar dengan fikiran bawah sedar dan dapat memanfaatkan fikiran bawah sedar kita untuk memperbaiki diri kita dalam semua hal kebaikan yang kita mahu. Mungkin yang miskin inginkan kekayaan, yang kurang berjaya inginkan kejayaan, yang kurang cerdik inginkan kecerdikan dan sebagainya.

Kata beliau, ”apabila anda berada di atas katil untuk tidur, lampu sudah dipadamkan dan anda bersedia untuk tidur tetapi entah bagaimana mata tidak mahu lelap, sebaiknya anda mula mencadangkan pada diri anda untuk bertenang”.

Bagi orang Islam, pada masa inilah kita memfokuskan diri kita kepada Allah dengan segala permintaan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat dan merasa betapa kecilnya diri ini jika dibandingkan dengan kebesaran Allah yang Maha Kaya, Maha Berkuasa dan segala-galanya. Akan timbul rasa keinsafan tentang kekurangan diri dan akan terus memperbaiki diri.

Kata Melvin Powers lagi, ”pada saat kita hampir akan terlelap terdapat hubungan yang terus antara fikiran sedar dengan fikiran bawah sedar. Tugas kita pada masa itu ialah menyatakan pada diri sendiri apa sebenarnya yang kita inginkan. Jika anda tertidur semasa melayari keinginan-keinginan anda itu, jangan khuatir kerana fikiran bawah sedar anda akan meneruskan perjalanannya sehingga secara mental anda sudah berjaya menanamkan keinginan-keinginan anda ke fikiran”.

Kita mesti berupaya mengawal keadaan mental kita ini kerana kekuatan mental akan merubah hidup kita daripada yang serba kurang kepada yang serba ada. Pada kebiasaannya orang mengatakan berlaku perubahan sikap diri masing-masing dan dengan perubahan sikap ini akan menjaya daya kekuatan untuk kita berubah kepada kebaikan.

Dr Ismail Abdullah
8 Ogos 2007
Bandar Baru Bangi

QI dan Daya Kehidupan

Dalam banyak penulisan perkataan Chi ditulis sebagai Qi tetapi disebut dengan Chi. Mungkin kita biasa dengar Tai Chi sejenis senaman Cina yang gerakannya perlahan. Sebenarnya selain daripada Tai Chi banyak lagi senaman Cina yang berfokus kepada persoalan Chi, seperti Qigong (dibaca Chigong), Waitankung dan lain-lain. Dalam penulisan ini ingin dibincangkan mengenai Chi dan apakah peranannya dalam kehidupan.

Pada zaman dahulu di negeri Cina, maharaja Cina mempunyai ramai isteri, kadang-kadang mereka mempunyai sehingga 100 orang isteri atau lebih dan mereka ingin hidup lama untuk dapat melayani isteri-isteri mereka secara adil. Maharaja telah mengadakan pertandingan dengan hadiah yang lumayan bagi sesiapa saja yang dapat merekacipta cara untuk hidup lama. Maka lahirlah berbagai-bagai cara mereka untuk mengatasi masalah ini. Timbullah persoalan Chi dan bagaimana Chi berperanan dalam meningkatkan usia seseorang.

Kita namakan tajuk penulisan ini sebagai “Chi dan Daya Kehidupan” kerana kita ingin mencari atau mengungkapkan peranan Chi sebagai daya (force) dalam kehidupan. Istilah daya biasa digunakan dalam mata pelajaran fizik, sebagai sesuatu yang mempunyai besaran (magnitude) dan jika dikaitkan dengannya suatu arah (direction) tertentu, maka kita boleh katakan ianya suatu vektor. Sesuatu yang hanya mempunyai besaran disebut sebagai skalar.

Dalam penulisan ini kita akan fokuskan kepada segi besaran dan kemudian mungkin pada masa yang bersesuaian akan dibincang juga mengenai arahnya. Apakah perbezaan antara daya (force) dan tenaga (energy)? Bila kita sebut perkataan daya, kita kaitkan dengan sesuatu yang aktif, sesuatu yang bersedia untuk digerakkan dan jika kita sebut perkataan tenaga, kita kaitkan dengan suatu yang pasif, erti sesuatu yang kita simpan untuk digunakan pada masa tertentu.

Kedua-dua istilah itu saling melengkapi kerana daya hanya boleh bertindak jika ada tenaga. Jika tiada tenaga bagaimana kita hendak bertindak atau bergerak. Kita biasa dengar, “saya tidak berdaya”, ini bermakna seseorang itu tiada tenaga untuk bertindak. Jika kita menggunakan istilah daya kita juga bermaksud ianya mengandungi tenaga. Jika saya menggunakan istilah tenaga, ianya sekadar suatu besaran yang boleh kita kumpulkan seperti juga tenaga suria yang dapat dikumpul melalui panel tenaga suria.

14 Julai 2007
Desa Pulai 2, Kangar, Perlis.