Thursday 10 July 2008

Teknik Menghubungkan Fikiran Sedar dengan Fikiran bawah sedar bagi mencapai apa yang kita cita-citakan


by isbah88 @ 2007-08-08 - 19:58:56

Pada setengah orang tidur adalah perkara yang sangat mudah, letak saja kepala di bantal boleh terus tertidur dan ada orang mengambil masa yang lama untuk tidur. Kadang kala orang yang boleh tidur segera pun tidak dapat tidur segera atas beberapa masalah yang mungkin di hadapi.

Melvin Powers, dalam bukunya, ”Dynamic Thinking” mukasurat 67 dan 68, mencadangkan agar apabila kita masuk tidur dan tidak berupaya untuk tidur segera, mengamalkan satu teknik yang beliau sebutkan sebagai teknik menghubungkan antara fikiran sedar dengan fikiran bawah sedar dan dapat memanfaatkan fikiran bawah sedar kita untuk memperbaiki diri kita dalam semua hal kebaikan yang kita mahu. Mungkin yang miskin inginkan kekayaan, yang kurang berjaya inginkan kejayaan, yang kurang cerdik inginkan kecerdikan dan sebagainya.

Kata beliau, ”apabila anda berada di atas katil untuk tidur, lampu sudah dipadamkan dan anda bersedia untuk tidur tetapi entah bagaimana mata tidak mahu lelap, sebaiknya anda mula mencadangkan pada diri anda untuk bertenang”.

Bagi orang Islam, pada masa inilah kita memfokuskan diri kita kepada Allah dengan segala permintaan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat dan merasa betapa kecilnya diri ini jika dibandingkan dengan kebesaran Allah yang Maha Kaya, Maha Berkuasa dan segala-galanya. Akan timbul rasa keinsafan tentang kekurangan diri dan akan terus memperbaiki diri.

Kata Melvin Powers lagi, ”pada saat kita hampir akan terlelap terdapat hubungan yang terus antara fikiran sedar dengan fikiran bawah sedar. Tugas kita pada masa itu ialah menyatakan pada diri sendiri apa sebenarnya yang kita inginkan. Jika anda tertidur semasa melayari keinginan-keinginan anda itu, jangan khuatir kerana fikiran bawah sedar anda akan meneruskan perjalanannya sehingga secara mental anda sudah berjaya menanamkan keinginan-keinginan anda ke fikiran”.

Kita mesti berupaya mengawal keadaan mental kita ini kerana kekuatan mental akan merubah hidup kita daripada yang serba kurang kepada yang serba ada. Pada kebiasaannya orang mengatakan berlaku perubahan sikap diri masing-masing dan dengan perubahan sikap ini akan menjaya daya kekuatan untuk kita berubah kepada kebaikan.

Dr Ismail Abdullah
8 Ogos 2007
Bandar Baru Bangi

No comments: