Thursday 10 July 2008

QI dan Daya Kehidupan

Dalam banyak penulisan perkataan Chi ditulis sebagai Qi tetapi disebut dengan Chi. Mungkin kita biasa dengar Tai Chi sejenis senaman Cina yang gerakannya perlahan. Sebenarnya selain daripada Tai Chi banyak lagi senaman Cina yang berfokus kepada persoalan Chi, seperti Qigong (dibaca Chigong), Waitankung dan lain-lain. Dalam penulisan ini ingin dibincangkan mengenai Chi dan apakah peranannya dalam kehidupan.

Pada zaman dahulu di negeri Cina, maharaja Cina mempunyai ramai isteri, kadang-kadang mereka mempunyai sehingga 100 orang isteri atau lebih dan mereka ingin hidup lama untuk dapat melayani isteri-isteri mereka secara adil. Maharaja telah mengadakan pertandingan dengan hadiah yang lumayan bagi sesiapa saja yang dapat merekacipta cara untuk hidup lama. Maka lahirlah berbagai-bagai cara mereka untuk mengatasi masalah ini. Timbullah persoalan Chi dan bagaimana Chi berperanan dalam meningkatkan usia seseorang.

Kita namakan tajuk penulisan ini sebagai “Chi dan Daya Kehidupan” kerana kita ingin mencari atau mengungkapkan peranan Chi sebagai daya (force) dalam kehidupan. Istilah daya biasa digunakan dalam mata pelajaran fizik, sebagai sesuatu yang mempunyai besaran (magnitude) dan jika dikaitkan dengannya suatu arah (direction) tertentu, maka kita boleh katakan ianya suatu vektor. Sesuatu yang hanya mempunyai besaran disebut sebagai skalar.

Dalam penulisan ini kita akan fokuskan kepada segi besaran dan kemudian mungkin pada masa yang bersesuaian akan dibincang juga mengenai arahnya. Apakah perbezaan antara daya (force) dan tenaga (energy)? Bila kita sebut perkataan daya, kita kaitkan dengan sesuatu yang aktif, sesuatu yang bersedia untuk digerakkan dan jika kita sebut perkataan tenaga, kita kaitkan dengan suatu yang pasif, erti sesuatu yang kita simpan untuk digunakan pada masa tertentu.

Kedua-dua istilah itu saling melengkapi kerana daya hanya boleh bertindak jika ada tenaga. Jika tiada tenaga bagaimana kita hendak bertindak atau bergerak. Kita biasa dengar, “saya tidak berdaya”, ini bermakna seseorang itu tiada tenaga untuk bertindak. Jika kita menggunakan istilah daya kita juga bermaksud ianya mengandungi tenaga. Jika saya menggunakan istilah tenaga, ianya sekadar suatu besaran yang boleh kita kumpulkan seperti juga tenaga suria yang dapat dikumpul melalui panel tenaga suria.

14 Julai 2007
Desa Pulai 2, Kangar, Perlis.

No comments: